Berita
Osman Bakar globalkan ISTAC
Tarikh : 15 January 2019
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
Menyebut slogan “Islamisasi Ilmu”, apakah senario yang biasanya tergambar di minda anda? Mungkin sepasukan komando jihad sedang bertempur dengan tentera Salib di medan ilmu. Perang suci ini dilancarkan atas alasan bahawa disiplin-disiplin “ilmu” sedang dijajah oleh komandokomando Salib bersenjatakan falsafah Kristian dan sekular. Komando-komando Salib ini telah berjaya “Membaratkan Ilmu”, maka sekarang giliran mujahidin fii sabiilillah pula “Mengislamisasikan Ilmu” kembali. Bukankah umat Islam dahulukala pernah menjajah Ode Dunia Baharu (New World Order)? Ini adalah gambaran arus perdana tentang wacana Islamisasi Ilmu. Gambaran seperti ini adalah hasil mindset “mujaahidin’ yang melihat Islamisasi sebagai Kami Lawan Mereka, umat Islam lawan umat Barat.
Prof Emeritus Osman Bakar, Shaikh Kulliyah ISTAC di UIAM, berusaha mencipta wacana “Islamisasi” yang baharu. Sebagai seorang cendekiawan dalam “Civilizational Studies” atau Pengkajian Ketamadunan, beliau terasa tidak enak dengan slogan Islamisasi Ilmu yang lebih cenderung untuk mempolitikkan ilmu atas nama Islamisasi iaitu Kami Lawan Mereka. Semasa Seminar Fazlur Rahman di ISTAC pada Sabtu, 12 Januari 2019, yang dianjurkan oleh IRF (Islamic Renaissance Front), Prof Osman Bakar telah menjelaskan “Islamisasi” dari dua perspektif iaitu perspektif eksklusif dan perspektif inklusif. Perspektif eksklusif melihat Islamisasi sebagai pembentukan wacana yang hanya boleh difahami dan dipersetujui oleh umat Islam sahaja. Prof Osman tidak menafikan bahawa perspektif eksklusif ini mungkin memberi manfaat kepada umat Islam tetapi adakah ia memanfaatkan umat global atau multibudaya pada zaman dunia tanpa sempadan ini?
Maka, Prof Osman mencadangkan wujudnya perspektif inklusif di mana Islamisasi bermakna usaha membentuk wacana yang boleh difahami oleh umat manusia sejagat. Bahkan Prof Osman juga menambah bahawa perspektif inklusif ini tidak obses dengan label “Islamisasi”. Istilah lain boleh digunakan selain istilah “Islamisasi” supaya mudah difahami oleh umat global. Mengapa wacana Islamisasi perlu ditujukan semata-mata kepada umat Islam sahaja? Prof Osman mengajak kita berfikir tentang soalan ini: Adakah wacana Islamisasi wajib bersifat konfrontasi, perang dan memecahbelahkan? Adakah ia wajib memotong dunia kepada dua bahagian seperti kerat daging kepada dua ketulan iaitu ketulan Islam dan ketulan Barat? Prof Osman dilahirkan di Temerloh, Pahang. Beliau mendapat Ijazah Pertama dan Ijazah Sarjana dari Universiti London dalam bidang Matematik dengan pengkhususan dalam bidang Algebra. Bidang Algebra adalah dicipta oleh ilmuwan Muslim yang terkenal semasa Khilafah Abbasiyah iaitu Al-Khawarizmi.
Mempelajari Algebra adalah pengembaraan intelektual dan spiritual kembali ke tamadun Abbasiyah yang bersifat multib udaya. Al-Khawarizmi berjaya menginovasikan bidang Algebra (atau AlJabr) dengan mempelajari matematika Yunani-Roma dan India. Dengan menggabungkan dua budaya ini dengan roh pengiraan Qurani seperti ilmu Faraa’id, AlKhawarizmi mencipta Algebra. AlKhawarizmi langsung tidak melabelkan projeknya dengan slogan “Islamisasi Ilmu” tetapi tetap berjaya menghasilkan sebuah inovasi agung yang memberi Rahmah Lil-’Aalamiin. Selepas grad bidang Algebra, Prof Osman melanjutkan pendidikan kepada pengajian Sarjana Perbandingan Agama dan PhD dalam bidang Falsafah Islam tentang Sains. Buku-buku beliau diterjemahkan kepada bahasa Arab, Inggeris, Cina, Albania, Sepanyol, Urdu, Perancis dan Farsi. Buku terbaharu Prof bertajuk Islamic Civilization & The Modern World.
Kemampuan Prof dalam membawa wacana Islamisasi yang bersifat inklusif, global dan multibudaya di iktiraf oleh Unesco, UN dan Universiti Harvard. Dengan pengalaman multibudaya Prof dan sebagai Syaikh Kulliyah ISTAC, kita bakal melihat satu arus baharu “Ihyaa al-’Ulum”. ISTAC dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sedang mengemudi penghijrahan dari wacana KAMI ke wacana manusiawi KITA. Ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub pernah usahakan tajdid global yang bersifat inklusif ini bersama pemikir-pemikir global seperti Muhammad Asad, Martin Lings, Hamka dan ulama-ulama Muslim World League. Nasihatnya ialah al-Quran telah memuliakan Muslimin sebagai “Khairu Ummah Ukhrijat Lin-Naas” iaitu sebagai umat terbaik yang diutuskan untuk manusia sejagat.
*Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
Source Sinar Harian