Berita
PABM 2019: UIAM beraksi cemerlang
Tarikh : 30 September 2019
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
TANJUNG MALIM - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus beraksi cemerlang dalam arena pengucapan awam apabila dua orang wakilnya dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2019.
Paling menarik pastinya wakil dalam kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, Moustapha Koutoub Sano yang berjaya menewaskan wakil Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mad Rokiyah (Kemboja) dan wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ibrahim Youssef Abdelhamid Elbayoumy Aboukhateta (Mesir).
Moustapha yang berasal dari Guinea berjaya mencuit hati lebih 6,000 penonton yang hadir di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini melalui pidatonya bertajuk Kepentingan Membina Perpaduan.
Sementara itu, kategori yang boleh dikira paling sengit iaitu kategori Alam Melayu juga menyaksikan kemenangan UIAM buat tahun kedua berturut-turut melalui Amirul Iqmal Rozlan.
Amirul Iqmal yang mewakili Malaysia menyambung legasi kecemerlangan UIAM melalui pidato bertajuk Kita dan Budaya - Budaya Bangsa yang sangat informatif.
Beliau menewaskan seorang lagi wakil Malaysia, Iskandar Zulkarnain Ramli dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan wakil Thailand, Wansobeereen Waeyusoh dari Kolej Politeknik Narathiwat.
Dalam pada itu, johan kategori antarabangsa menjadi milik peserta warganegara Uzbekistan dari Universiti Bahasa Antarabangsa Uzbekistan yang membawakan pidato bertajuk Perpaduan Asas Kejayaan.
Beliau menewaskan wakil Jepun, Erii Koyama dari Universiti Pengajian Luar Negara Tokyo dan wakil China, Wang Jiarui dari Universiti Pengajian Luar Negara Beijing.
Malam kemuncak PABM Piala Menteri 2019 dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr. Abdul Aziz Bari; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran. - UTUSAN ONLINE