Berita

Berita

Pembelajaran Maya: Sejauh Mana Kita Bersedia?

Pembelajaran Maya: Sejauh Mana Kita Bersedia?

Tarikh : 26 September 2020

Dilaporkan Oleh : Danial Yusof

Kategori : News


Share

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kalau tidak tularnya kisah pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan secara dalam talian, pasti ramai pihak yang masih ‘terlena' bahawa tidak semua individu mempunyai akses mudah kepada pembelajaran secara maya.

Krisis pandemik COVID-19 lebih-lebih lagi ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas menyaksikan bagaimana rakyat khususnya golongan murid, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi terpaksa mengadaptasi normal baharu sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mahupun pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Kini selepas beberapa bulan melalui normal baharu, adakah golongan ini semakin selesa  menggunakan aplikasi seperti Zoom, Skype, MS Team, Google Hangout, Google Meet, Whatsapp dan sebagainya?

Dan paling utama, bagaimana pula keberkesanannya berbanding kaedah secara bersemuka? 

PANDEMIK PERCEPAT ADAPTASI

Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (PTPM) Prof Madya Dr Mahizer Hamzah berkata pandemik COVID-19 sebenarnya telah mempercepatkan penerimaan masyarakat negara ini terhadap pembelajaran secara maya yang sebelum ini dijangka mengambil masa yang lebih lama.

“Berdasarkan situasi semasa hari ini golongan terlibat seperti murid, pelajar, penuntut universiti, tenaga pengajar serta ibu bapa sudah boleh menerima pembelajaran secara maya sebagai antara pendekatan yang boleh digunakan baik untuk PdPc mahupun PdP.

“Pandemik ini juga telah membuka mata banyak pihak mengenai faktor-faktor yang perlu diberi pertimbangan sekiranya pembelajaran secara maya perlu dilaksanakan sepenuhnya jika penularan COVID-19 berpanjangan. 

“Ini termasuklah kemampuan ibu bapa menyediakan peranti yang bersesuaian dan akses Internet untuk kegunaan pembelajaran anak, kesediaan guru melaksanakan pengajaran sepenuhnya secara dalam talian, bahan pengajaran yang mencukupi, sistem penjadualan serta alternatif lain kepada pelajar dan guru yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan ini,” katanya kepada Bernama.

WUJUD PELANTAR DIGITAL

Menyifatkan proses menerima pembelajaran secara maya lebih mudah berbanding memastikan ia kekal dilaksanakan, Mahizer yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata untuk itu, kumpulan minat khas (SIG) yang diwujudkan secara sukarela oleh guru menjadi antara platform untuk menyokong dan menggalakkan rakan-rakan dalam bidang pendidikan untuk terus menerbitkan bahan pengajaran sendiri secara dalam talian.  

Di samping usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang giat menerbitkan video-video pengajaran untuk TV Pendidikan dan EduWebTV, pelancaran pelantar pembelajaran digital secara tunggal baharu yang dikenali sebagai DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) pada 15 Jun lepas bagi menggantikan platform Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE), turut dilihat sebagai satu langkah ke hadapan.

Tambah Mahizer, DELIMa yang disokong oleh tiga rakan strategik iaitu Apple, Microsoft dan Google bukan hanya sekadar pelantar kepada proses pengajaran dan pembelajaran tetapi juga bertindak sebagai ruang perkongsian dan koloborasi antara guru.

“Namun begitu, untuk jangka masa panjang satu pelantar pembelajaran digital yang dapat menyokong pengajaran, pembelajaran serta sistem pentaksiran yang sesuai dengan keperluan pendidikan negara perlu diwujudkan.

“Masih ramai guru yang memerlukan bimbingan baik dari segi teknikal mahupun reka bentuk instruksional yang sesuai dalam pembinaan bahan digital dan ini memerlukan sistem sokongan yang kukuh bagi membantu mereka,” katanya. 

Berpendapat Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri perlu diperkasa untuk membantu dalam aspek latihan dan nasihat terutama dalam bidang teknikal dan rekabentuk instruksional, beliau berkata pusat sokongan daerah yang dilengkapi kemudahan untuk latihan, peralatan serta tenaga pengajar yang berkelayakan bagi membantu guru serta sekolah di peringkat daerah juga wajar diwujudkan.

“Repositori (pusat penyimpanan dan penyelanggaraan data) bahan pembelajaran digital yang mengumpulkan semua bahan digital yang telah dibina oleh guru juga perlu diwujudkan agar ia boleh diakses oleh lebih ramai guru dan pelajar,” katanya.

ADIL UNTUK SEMUA

Berkongsi pandangan, Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata masih banyak perkara yang perlu diperhalusi dalam memastikan penyampaian ilmu secara maya benar-benar berkesan.

Walaupun pelajar dan tenaga pengajar kini sudah semakin selesa, beliau berkata itu bukan justifikasi tunggal untuk menyatakan pendidikan negara berada tepat di landasannya.

“Paling utama adalah kesamarataan dan keadilan untuk semua pelajar mendapat akses pembelajaran. Jika ada pelajar di kampung atau pedalaman, hatta di bandar sekali pun yang tidak mampu mendapat  akses Internet yang baik, itu saya anggap tidak adil.

“Dan bayangkan jika situasi pembelajaran secara maya atau apa saja kaedah baharu yang digunapakai ini terus dilaksanakan sepenuhnya, sudah pasti golongan ini akan terus ketinggalan,” katanya.

UIAM sebagai contoh mengambil inisiatif membantu penuntut yang terkandas di kampung atau negara asal bagi memastikan pengajian mereka tidak terganggu.

Ini termasuk melalui program kesihatan mental yang mana pihak universiti akan menghubungi penuntut bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi normal baharu di samping memohon pengecualian daripada kementerian untuk penuntut terlibat bagi kes-kes tertentu. 

Mengulas lanjut mengenai keberkesanan PdPc dan PdP secara dalam talian, Dzulkifli berkata ia tidak terhad kepada isu tahap capaian dan kepantasan Internet sebaliknya kaedah pentaksiran hasil kerja pelajar juga perlu dititikberatkan.

“Di sinilah integriti dan sifat amanah pelajar dan pengajar itu akan diuji memandangkan dalam normal baharu, peperiksaan akhir dan kerja kursus (khususnya di pusat pengajian tinggi dan universiti) bukan lagi satu-satunya penentu pencapaian pelajar.

“Kalau diberikan peperiksaan secara terbuka dalam talian pun akan tetap ada masalah kerana sudah terbukti terdapat kes apabila bukan pelajar yang sepatutnya menjawab peperiksaan itu. Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia bahkan di kebanyakan institusi pendidikan yang melaksanakan pembelajaran secara maya,” katanya. 

PENAMBAHBAIKAN BERTERUSAN

Profesor Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar dari Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia pula berpandangan penambahbaikan hendaklah dilakukan secara berterusan bagi memastikan keberkesanan normal baharu ini.

Paling utama, jelas beliau, capaian atau akses terhadap Internet yang berkelajuan tinggi perlu dipertingkatkan memandangkan pembangunan prasarana ini penting bagi mengelak sebarang gangguan akibat kelemahan perkhidmatan. 

“Peralatan yang digunakan hendaklah yang bersesuaian dan dalam keadaan terbaik. Ini termasuklah komputer, WebCam dan mikrofon berkualiti tinggi kerana ia penting untuk memastikan proses komunikasi yang berlaku tidak ada gangguan,” katanya sambil menambah pemilihan perisian yang sesuai antara yang perlu diberi perhatian.

Untuk memastikan kelangsungan normal baharu ini, kerajaan dan penyedia perkhidmatan Internet perlu sentiasa memastikan liputan yang bersesuaian termasuklah penambahbaikan teknologi yang digunakan seperti daripada 4G kepada 5G.

“Guru atau tenaga pengajar perlu sentiasa meneroka ilmu dan belajar kemahiran baharu sama ada dari segi peralatan yang digunakan ataupun perisian yang bersesuaian agar penyediaan bahan bantu mengajar dapat dihasilkan dengan baik.

“Pada masa yang sama mereka juga haruslah kreatif dan inovatif dalam mengendalikan platform PdPc dan PdP dalam talian agar dapat menarik minat pelajar dan menjadikan mereka terus bermotivasi untuk terus belajar,” katanya.

Mengenai bebanan emosi yang mungkin dihadapi oleh pelajar kesan daripada normal baharu ini, Timbalan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) Prof Dr Mansor Abu Talib berkata ia secara umum dapat diurus dengan baik.

“Walaupun tiada data rasmi untuk menyokong kenyataan ini, secara teorinya saya percaya pada peringkat sekarang, pelajar sudah mula dapat beradaptasi berbanding waktu awal dahulu.

“Memang diakui proses PdPc atau PdP secara bersemuka adalah yang terbaik namun dalam keadaan pandemik ini, kita perlu ada alternatif lain,” katanya sambil menambah tekanan yang dihadapi pelajar lebih kepada isu luaran seperti liputan dan kepantasan wifi untuk melaksanakan tugasan secara maya. 

 RUANGAN SISI 

Laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Ogos lepas  mendedahkan sekurang-kurangnya satu pertiga pelajar terkesan di seluruh dunia kerana tidak memiliki akses pendidikan maya apabila sekolah ditutup akibat penularan COVID-19.

Laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) turut menyatakan secara keseluruhannya, dianggarkan 463 juta kanak-kanak berdepan kekurangan kelengkapan atau akses elektronik bagi meneruskan pembelajaran jarak jauh di samping kira-kira 1.5 bilion kanak-kanak di seluruh dunia terkesan dengan perintah berkurung atau penutupan sekolah disebabkan pandemik itu.

Berdasarkan data terkumpul dari kira-kira 100 negara bagi mengukur akses awam kepada internet, televisyen dan radio termasuk garis perbezaan geografi, perbezaan ketara didapati membabitkan akses kanak-kanak kepada pendidikan, dengan jumlah terkesan berkurangan di Eropah berbanding Afrika atau beberapa bahagian di Asia.

Laporan itu turut menyatakan daripada keseluruhan pelajar seluruh dunia yang tidak memiliki akses pendidikan maya, 67 juta adalah di timur dan selatan Afrika, barat dan tengah Afrika (54 juta), Pasifik dan Asia Timur (80 juta), Asia Barat dan Afrika Utara (37 juta), Asia Selatan (47 juta) dan di Amerika Latin dan Caribbean (13 juta).

UNICEF turut melaporkan kanak-kanak yang memiliki akses mencukupi juga berdepan cabaran lain bagi pendidikan jarak jauh, sama ada kurang ruang belajar yang baik di rumah atau kurang sokongan teknikal apabila komputer berdepan masalah.

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

Source: https://www.bernama.com/bm/new...