Berita

Berita

Pensyarah UIAM Johan  Qari peringkat negeri Selangor 2019

Pensyarah UIAM Johan Qari peringkat negeri Selangor 2019

Tarikh : 29 January 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share


PENSYARAH Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Khair Jalil dan guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Nor Faizah Panut masing-masing dinobatkan sebagai johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 2019, baru-baru ini.

Abdul Khair yang ditemui melahirkan kesyukuran dengan kemenangan buat kali kelima daripada tujuh penyertaannya, sebelum ini.

Menurutnya, ia adalah kali kelima dirinya bergelar jadi johan sejak menyertai pertandingan itu pada 2011 sehingga kini, namun berehat pada 2013, 2014 serta 2016.

“Saya mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum pertandingan untuk mengekalkan stamina, menjaga suara, rajin berlatih, tidak makan buah-buahan bergetah.

“Kebiasaannya saya berlatih ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, sambil dengar bacaan al-Quran dan cuba berlatih meniru sebutan yang betul setakat saya mampu selain suara dan lenggoknya.

“Saya juga berharap dapat kekal di peringkat kebangsaan tetapi bergantung pada rezeki. Kalau ada rezeki Alhamdulillah, jika tiada rezeki kena cuba lagi waktu lain. Tahun lalu saya mendapat tempat keempat peringkat kebangsaan,” katanya yang mewakili Daerah Gombak.

Bagi Nor Faizah pula, tugas sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata serta guru tidak menghalang beliau untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketujuh.

“Syukur Allah bagi peluang lagi untuk ke peringkat kebangsaan kerana kali terakhir saya ke peringkat kebangsaan sebelum ini pada 2016. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya.

“Ini kali ketujuh jadi johan peringkat negeri. Dari sebelum kahwin sampai sekarang, Alhamdulillah, Allah beri lagi peluang.

“Mengekalkan momentum kejayaan bukan suatu perkara mudah dengan faktor kerjaya, keluarga, pembahagian masa yang sangat terhad, jadi memang sebelum menyertai tilawah ini saya kosongkan waktu, cari waktu, cari guru setiap masa untuk perbaiki bacaan, bertalakki dengan guru serta bertadabbur,” katanya.

Keputusan pertandingan itu diumumkan pada majlis penutupan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan majlis penutupan yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori Qari, manakala Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan hadiah kategori Qariah.

Tengku Amir Shah pula turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah bagi kategori hafazan Al-Quran.

Abdul Khair dan Nor Faizah masing-masing menerima piala pusingan, wang tunai RM5,000, sepersalinan pakaian, sijil penyertaan serta pakej mengerjakan ibadah umrah.

Source; https://www.hmetro.com.my/muta...

Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my