Berita

Berita

Kelab Perkim Universiti, UIAM Pagoh Buktikan Islam Rahmat Sekian Alam

Kelab Perkim Universiti, UIAM Pagoh Buktikan Islam Rahmat Sekian Alam

Tarikh : 20 December 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

MENYANTUNI segenap masyarakat tanpa mengira bangsa. Itu antara prinsip diterapkan dalam Islam sebagaimana dijenamakan semula oleh kerajaan Malaysia menerusi gagasan rahmatan lil alamin.

Bukan bermaksud mengiktiraf perkara mungkar atau kepercayaan bukan Islam, namun ia adalah berpegang kepada prinsip keterbukaan yang diajar oleh Rasulullah iaitu dakwah secara hikmah dengan menyantuni golongan sasar sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.

Justeru, bantuan kepada golongan memerlukan bukan hanya tertumpu kepada masyarakat Islam, tetapi boleh diperluaskan kepada bukan Islam sebagai satu daripada strategi berdakwah secara tidak langsung.

Ia sebagaimana dilakukan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) baru-baru ini yang mengadakan Program Khidmat Masyarakat Bersama Kaum Cina Kampung Bukit Siput di Segamat, Johor.

Program sehari itu turut mendapat kerjasama Pejabat Kadi Segamat, Badan Kebajikan Saudara Kita Daerah Segamat, Jawatankuasa Masjid AlMuhajirin Bukit Siput dan Persatuan Penyokong Perayaan Yu Lan Bukit Siput. Ketua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)Bukit Siput.

Wong Kim Ha berkata, program itu secara tidak langsung membuka mata masyarakat di kampung itu tentang gambaran positif umat Islam tanpa sempadan, sentimen perkauman, berpecah-belah, status atau warna kulit.

"Program ini merupakan penganjuran yang julung kali diadakan oleh mana-mana organisasi Islam bersama masyarakat di sini. Saya gembira dan berbesar hati. Kita harap usaha gotong-royong dan ziarah yang dilakukan ini dapat menjadi contoh kepada masyarakat dan pertubuhan lain," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program tersebut.

Perasmian disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa. Yang turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Segamat, Abdul Hamid Omar; Pegawai Perkim Bahagian Negeri Johor, Ghazali Ismail; Ketua Kampung Sedeng Bukit Siput, Aminuddin Ali dan Pegawai Dakwah Pejabat Kadi Daerah Segamat, Ismail Salam.

Antara aktiviti yang diadakan pada program itu adalah gotongroyong, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma oleh Klinik Kesihatan Segamat, pameran halal serta edaran risalah Islam.

Acara riadah bagi semua peringkat umur turut diadakan termasuk senaman taici dan senamrobik serta aktiviti sukaneka bagi kanak-kanak, remaja serta dewasa.

Turut diadakan 'Program Mentor Mentee' antara 35 mahasiswa Kelab Perkim Universiti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Pagoh bersama 15 keluarga angkat mualaf di kampung terbabit. Ceramah bertajuk 'Menyantuni Umat Membawa Berkat' turut diadakan yang disampaikan oleh Juara Imam Muda 2011, Mohd. Hassan Adli Yahaya anjuran Masjid Al-Muhajirin, Bukit Siput.

DAKWAH SANTAI

Sementara itu Hasbullah berkata, kerjasama dan layanan mesra penduduk kampung menjadikan program lebih menggembirakan dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dengan sukarelawan program.

"Sukarelawan berpeluang melihat dari dekat kehidupan masyarakat kampung dan menyelami sendiri kegiatan penduduk kampung terbabit. Sukarelawan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada golongan warga emas dan yang memerlukan.

Ini sebagaimana objektif program untuk mengeratkan hubungan dan perpaduan antara sukarelawan dengan golongan memerlukan tanpa mengira agama, bangsa serta keturunan.

"Ini selari dengan tuntutan Islam yang menyuruh umatnya hidup berkasih sayang. Suruhan itu pula bukan setakat kasih sayang sesama Muslim tetapi kepada manusia sejagat," katanya.

Selain itu, Perkim turut menziarahi lapan penghuni Rumah Orang Tua Bukit Siput untuk bertanya khabar, bergotong-royong membersihkan kawasan dan memberikan sumbangan.

Rombongan ziarah dibahagikan kepada enam kumpulan untuk mengagihkan 30 pek sumbangan makanan keperluan asas iaitu beras, biskut, minyak, teh, gula, tepung, koko dan susu.

Rata-rata masyarakat di Kampung Bukit Siput menggunakan bahasa Hokkien, Mandarin dan Hakka sebagai dialek perantaraan utama selain boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Source Utusan-Agama