Berita
Perpustakaan mini anak Rohingya
Tarikh : 16 January 2020
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
HURIYAH of Palestine (Kebebasan Palestine) atau HOPE anjuran Kelab World Assembly of Muslim Youths (WAMY) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Pahang berjaya mengangkat semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa.
Kempen edisi kelima itu yang bertemakan Revealing the Unsung Heroes in Us turut mendapat kerjasama MyCare Pahang.
Pengarah program HOPE, Mohamad Anwar Mohd Nor berkata, projek Mini Library untuk kanak-kanak Rohingya dijalankan pada program kali ini di Rohingya Education Centre (REC).
“Menerusi bantuan pegawai perpustakaan daripada UIAM Kampus Kuantan, kami berjaya menubuhkan perpustakaan mini untuk kanak-kanak Rohingya. Buku yang diperoleh adalah hasil sumbangan orang ramai dan Perpustakaan UIAM.
“Seramai 30 mahasiswa daripada pelbagai bidang seperti Bioperubatan, Farmasi, Perubatan dan Sains Hayat berganding bahu untuk merealisasikan projek perpustakaan mini ini.
“Hasilnya tergambar keceriaan dan keterujaan di wajah anak kecil Rohingya kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka mendapatkan pendidikan di Malaysia,” katanya.
Katanya, edisi HOPE kali ini mengangkat semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa untuk melihatkan isu masyarakat Rohingya yang ditindas di wilayah Rakhine, Myanmar dan program itu membantu penuntut untuk mendekati golongan berkenaan.
“Program ini bermula dengan upacara pembukaan forum apabila menampilkan panel berpengalaman luas dalam bidang kesukarelawanan.
“Selain itu, program dihiasi dengan pelbagai aktiviti membabitkan pelajar sekolah rendah sekitar Kuantan bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai isu berkenaan umat Islam,” katanya.
Pertandingan kempen media sosial melalui Creative Instagram Post bertujuan menyebarkan capaian maklumat melalui mesej kemanusiaan turut dijalankan selain esei kemanusiaan ‘Write & Win’ untuk mencungkil bakat mahasiswa.
Lebih meriah, HOPE Bazaar yang memberi peluang kepada penuntut dan pengunjung membeli sambil beramal, selain gerai pameran berkenaan isu terkini Palestin, Syria, Yaman dan Rohingya.
Program HOPE diakhiri dengan ceramah oleh Fathiha Shuaib iaitu pengasas dan aktivis 1Moment4Them yang menceritakan pengalaman mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika belajar di Jordan untuk membantu mangsa pelarian Palestin.
Ceramah Fathiha menyuntik semangat dan inspirasi bagaimana seorang mahasiswa mampu membawa perubahan dan impak positif kepada orang sekeliling.
Pada hari terakhir program, derma RM1,200 dikumpul daripada penuntut dan pengunjung untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin melalui MyCare.