Berita

Berita

Simbol kestabilan, kekukuhan

Simbol kestabilan, kekukuhan

Tarikh : 25 January 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Pemilihan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja merupakan simbol kestabilan dan kekukuhan institusi beraja dalam negara ini.

Menurut Felo Penyelidikan Undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof, keputusan yang dibuat secara muafakat dan musyawarah itu menggambarkan istiqamah antara Raja-raja Melayu dalam meneruskan tradisi penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

"Pemilihan hari ini secara tidak langsung menamatkan kebuntuan rakyat yang berteka-teki tentang bakal Yang diPertuan Agong Ke-16 dan keprihatinan itu menggambarkan bahawa institusi beraja masih lagi menjadi perhatian dan tumpuan rakyat.

"Saya percaya rakyat seluruh negara bergembira dengan pemilihan Sultan Abdullah. Seri Paduka seorang raja yang prihatin, bijak serta berpengalaman luas. Daulat Tuanku!" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Abdullah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019. Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Dalam perkembangsan sama, Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, pemilihan Sultan Abdullah itu diyakini akan meneruskan kecemerlangan institusi diraja selain menjadi pemerintah rakyat yang adil. Jelas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, pengalaman Sultan Abdullah selama 44 tahun menjadi Tengku Mahkota Pahang dilihat akan menyegarkan semula institusi.