Berita

Berita

UIAM jana RM150 juta melalui IEF, sedia 12 pakej bantu penuntut miskin cemerlang akademik teruskan pengajian

UIAM jana RM150 juta melalui IEF, sedia 12 pakej bantu penuntut miskin cemerlang akademik teruskan pengajian

Tarikh : 16 August 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan 12 pakej produk dan perkhidmatan melalui jabatan IIUM Endowment Fund (IEF) yang bertanggungjawab mengurus dan menyalurkan sumbangan diterima terutama membabitkan bantuan kewangan kepada penuntut yang memerlukan di universiti berkenaan.

Pengarah IEF UIAM, Mohd Razif Mamat berkata, antara produk dan perkhidmatan disediakan di institut pengajian tinggi itu adalah general donation, kafalah, skim barakah, zakat korporat, IIUM Perpetual Endowment Property Fund, IIUM Waqf ‘ILM, program Alsafa, program AmBank Islamic-IIUM Credit Card, UIAMIEF Jompay, tabung penyayang dan kempen RM1.

“Selain bantuan segera dan kupon makanan kepada penuntut, kami turut menyediakan biasiswa seperti Azman Hashim-IIUM Ummatic Scholarship, Yayasan LTAT-IIUM Ummatic Scholarship, HH Shiekh Humaid Rashid Al Nuaimi- IIUM Ummatic Scholarship dan Istac Special Asistantship,” katanya.

Mohd Razif berkata, pihaknya juga membuat pelaburan yang dibenarkan di bawah syariah.

“Kita turut membantu kakitangan UIAM yang memerlukan bantuan kewangan.

“Dalam masa yang sama, kita membudayakan infak dalam kalangan kakitangan universiti ini. Kami juga penolong amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

IEF UIAM ditubuhkan pada 15 Mac 1999, dipengerusikan oleh UIAM. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk membantu penuntut miskin yang cemerlang dalam bidang akademik di universiti berkenaan.

Mohd Razif berkata, seramai 3,074 penuntut UIAM terpilih untuk menerima bantuan disediakan pada tahun lalu.

“Sejak penubuhan IEF, kita berjaya mengumpul RM150 juta. Sebanyak RM15,089,328 berjaya dikumpulkan pada tahun lalu, kita juga berhasrat mahu menambah lagi jumlah tersebut pada tahun ini.
“IEF memberi komitmen minima sebanyak RM2 juta setahun untuk biasiswa bagi pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti ini, bagaimanapun pada tahun lalu sebanyak RM6 juta disalurkan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia juga menyokong dan menggalakkan institut pengajian tinggi menyediakan dana endowmen.

“Kita mengalu-alukan orang ramai atau badan korporat yang mahu membuat infak dalam bentuk barangan atau kewangan secara berterusan kepada UIAM.

“Secara tidak langsung para penuntut dapat menerima manfaat daripada bantuan dan sumbangan tersebut,” katanya.

Penuntut UIAM syukur terima bantuan dana endowmen


Sementara itu, seorang penerima biasiswa IIUM-Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ummatic Scholarship, Mohamad Safwan Ghazali, 22, memberitahu, bantuan disediakan di UIAM itu dapat meningkatkan semangat penuntut untuk belajar.

“Bantuan yang diterima itu juga dapat mengurangkan kos sara hidup pelajar, di samping mereka dapat fokus dalam pelajaran.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja part time sebagai pekerja katering sebelum dapat biasiswa.

“Setelah saya peroleh biasiswa, saya sudah jarang bekerja part time kerana bantuan saya dapat ini boleh mengurangkan kos sara hidup di sini,” katanya.

Seorang lagi penerima biasiswa IIUM-LTAT Ummatic Scholarship, Yusrina Fatini Mohd Yunus, 24, memberitahu, bantuan yang disediakan di UIAM sangat bagus dan meringankan beban pelajar.

“Bantuan yang diterima ini dapat menangani isu kos sara hidup pelajar,” katanya.

Yusrina Fatini berkata, dia juga menerima bantuan yuran pengajian dan bantuan sara hidup.

“Bantuan sara hidup yang saya terima setiap bulan adalah sebanyak RM450, manakala elaun buku sebanyak RM250 setiap semester.

“Saya merupakan first batch yang menerima penerima biasiswa IIUM- LTAT Ummatic Scholarship pada 2016.

“Saya memohon bantuan tersebut setelah membaca iklan di UIAM,” katanya.



Source ;https://kampusuols.com/article...