Berita

Berita

UIAM Pagoh juara pertandingan pantun

UIAM Pagoh juara pertandingan pantun

Tarikh : 29 November 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

Serdang: Pasukan pantun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh muncul juara Pertandingan Pantun sempena Sambutan Bulan Bahasa Za’ba 2018 anjuran Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, baru-baru ini.

Pada pertandingan akhir itu, pasukan UIAM kampus Pagoh menewaskan pasukan Kolej Tun Dr Ismail UPM yang muncul naib juara, manakala tempat ketiga Kolej Keempat Belas (K14) dan keempat Kolej Ketujuh Belas (K17) UPM.

Pasukan pemantun UIAM Kampus Pagoh terdiri daripada pelajar program Bahasa Melayu Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan iaitu Muhammad Khalil Khirruddin, Nor Hapiza Adnan, dan Muhammad Nor Sahfiq Amran.

Memartabatkan pantun Pensyarah pembimbing UIAM Kampus Pagoh, Muhammad Faizuddin Hashim, berkata pihak universiti berasa amat bangga apabila Muhammad Nor Sahfiq turut dinobatkan sebagai pemantun terbaik peringkat akhir dan juga pemantun terbaik keseluruhan.

Beliau berkata, kejayaan pasukan itu adalah hasil daripada bakat dan komitmen yang tinggi setiap ahli pasukan.

Katanya, gelaran itu berjaya mengharumkan nama UIAM Pagoh, sekali gus menempatkan universiti terbabit dalam arena pantun pada peringkat universiti di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Kamal Mujaddid Kamal Hisham, berkata pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu mampu meningkatkan penghayatan generasi muda dalam berpantun sebagai khazanah bangsa bernilai tinggi.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, termasuk dalam kalangan mahasiswa untuk memartabatkan pantun kerana nilai estetikanya yang begitu tinggi.

Source Berita Harian- Varsiti