Berita

Berita

'UIAM pilihan terbaik buat 10 anak'

'UIAM pilihan terbaik buat 10 anak'

Tarikh : 13 November 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my

KETEGASAN dalam mendidik anak termasuk penekanan terhadap amalan solat sejak kecil menyebabkan 10 anak kepada seorang pesara berjaya bergelar graduan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Fauzi Abdullah, 63, berkata dia dan isteri, Wan Jamaliah Megat, 61, amat tegas dan tidak akan berkompromi dengan anak apabila menyuruh mereka bersolat mengikut masa dan juga membaca al-Quran.

“Saya dan isteri amat tegas dalam mendidik anak dengan memberi penekanan terhadap solat dan membaca al-Quran sejak kecil supaya kehidupan mereka diberkati serta dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Alhamdulillah, 10 anak saya berjaya menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda dan empat daripadanya memiliki Ijazah Sarjana dari UIAM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejayaan luar biasa 10 anak Fauzi dan Wan Jamaliah yang berjaya menamatkan pengajian di UIAM tular di laman sosial Facebook, hari ini sempena majlis konvokesyen anak bongsunya, Abdullah, 26, esok sekali gus mendapat reaksi positif netizen.

Anak pertamanya, Anas Fauzi, 40; kedua, Maryam, 39; keempat, Sumayyah, 37, dan ketujuh, Aishah, 32, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Manakala, anak ketiga, Asiah, 38, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan; kelima, Fatimah, 35, Ijazah Sarjana Muda Bio Kimia; keenam, Muadz, 34, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat; kelapan, Asma’, 31, Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik; kesembilan, Dr Abdul Rahman, 29, Ijazah Sarjana Muda Pergigian dan bongsu, Abdullah, 26, Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan.

Empat daripadanya menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di universiti yang sama.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata, penekanan terhadap konteks agama Islam dan akhlak dalam mendidik amat penting supaya anak-anak sentiasa berdisiplin, mendengar kata serta mudah mendalami ilmu.

“Alhamdulillah, kesemua anak menghafal al-Quran dan tiga daripadanya berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran iaitu Asma’, Abdul Rahman dan Abdullah.

“Selain itu, saya tidak mengajar anak bermewah-mewah walaupun mampu untuk memberi kemewahan, malah saya dan isteri mengajar anak supaya menjalani kehidupan cara biasa seperti orang lain.

“Kami juga berkorban untuk mendidik anak-anak apabila isteri tidak meneruskan cita-citanya kerana sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa demi memastikan anak berjaya dalam kehidupan,” kata.

Beliau yang juga bekas Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, kesemua anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan.

Katanya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kesemua anaknya menyambung pengajian asasi di UIAM sebelum menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti yang sama.

“Saya memilih supaya kesemua anak belajar di UIAM kerana universiti itu bertaraf dunia dan ia memenuhi keperluan pelajaran anak serta penuntut lain.

“Ada antara anak yang mendapat tawaran belajar di luar negara, tetapi saya tetap memilih UIAM kerana mahu anak fokus dalam pelajaran dan sekiranya belajar di luar negara akan timbul beberapa masalah terutama membabitkan makanan dan sukar untuk solat.

“Alhamdulillah, anak juga memilih UIAM untuk belajar dan kesemua mereka dapat menghabiskan pelajaran dalam masa ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Aishah berkata, ibu bapanya sangat tegas dan mempunyai didikan tersendiri dengan menitikberatkan nilai agama, disiplin dan kasih sayang.

“Saya bersyukur kerana ayah dan mak sentiasa memberi nasihat kepada anak yang diakhiri dengan pujukan. Ayah turut menerapkan kami dengan sifat kepimpinan dan berdikari,” katanya.

Source HM Online; https://www.hmetro.com.my/utam...