Berita

Berita

Vape dan shisha turut dicadang supaya dilarang di semua premis makanan

Vape dan shisha turut dicadang supaya dilarang di semua premis makanan

Tarikh : 22 November 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR: Rokok elektronik (vape) dan shisha
dicadangkan supaya turut disenarai di bawah peraturan larangan merokok
di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan tahun depan.

Prinsipal Akademi Farmasi Malaysia Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik
Mohamed dalam mengutarakan cadangannya berkata selain untuk menjaga
kesihatan awam, penggunaan rokok elektronik sememangnya sudah dimasukkan
sebagai takrifan merokok dalam pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan
Hasil Tembakau.

"Selain itu, kita juga tahu hampir kesemua
perisa vape yang digunakan pengguna alatan itu mengandungi nikotin,
iaitu bahan kawalan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 di
mana ia sepatutnya hanya boleh dijual pengamal perubatan berdaftar
seperti ahli farmasi ataupun doktor.

"Wap yang dihasilkan daripada aktiviti 'vaping' tidak kira sama ada
daripada perisa yang mengandungi nikotin atau tidak, boleh menimbulkan
kesan kepada kesihatan dan ketidakselesaan kepada orang-ramai, " katanya
kepada Bernama.

Beliau berkata bagi shisha pula, ia sememangnya
mengandungi bahan daripada tembakau yang termasuk di bawah
Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dan wajar turut dilarang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata
vape dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan berkenaan tetapi
kementeriannya masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan
peraturan melibatkan produk-produk itu.

Menurut Dr Mohamad
Haniki cadangan mengadakan kawasan khas untuk pengguna produk berkaitan
tembakau di premis makanan adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan,
namun pilihan yang lebih baik ialah mereka berhenti dari mengambilnya
dengan bantuan ubat-ubatan yang diluluskan Kementerian Kesihatan
Malaysia.

"Contohnya mereka boleh mengunyah gula-gula nikotin.
Langkah terbaik ialah berhenti merokok atau menggunakan sebarang produk
tembakau lain agar risiko penyakit dan kematian dapat dikurangkan dengan
signifikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan
agar semua produk berkaitan tembakau tidak kira rokok, vape mahupun
shisha hanya dijual di premis khas dan berlesen bagi mengawal
penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

"Pada ketika ini banyak
terdapat produk tembakau yang tidak berdaftar termasuk rokok dan perisa
vape. Jika kita menetapkan penjualannya di premis berlesen yang dijaga
pengamal perubatan berdaftar, kita boleh mengawal kerana kita tahusiapa
yang menjualnya," katanya.

-- BERNAMA